titian hidup ini: pengurusan bilik darjah yang kondusif

andai kau kenali dunia ini.. pasti kau kenali penciptaNya..
andai kau faham suara hati ini.. pasti kau takkan sakiti hati ku lagi..

kawan2 saya

pengurusan bilik darjah yang kondusif


1.0 Pendahuluan
Persekitaran fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana ia boleh menggalakkan atau menghalang pembelajaran. Persekitaran bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.
Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Ruang bilik darjah perlu diurus bersesuaian dengan aktiviti pengajaran. Tempat duduk perlu disusun,papan kenyataan dihias dan karel pembelajaran dan rak-rak buku perlu dipasang. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum. Seorang guru haruslah sentiasa menunjukkan contoh yang baik kepada anak murid mereka.
Bagi memainkan peranan sebagai pengurus yang berkesan, kita perlulah memahami kesukaran situasi bilik darjah dan mengenali faktor-faktor yang boleh membantu untuk menghasilkan suasana pembelajaran yang sihat.






1.1 Konsep Persekitaran Bilik Darjah Yang Kondusif
Persekitaran pembelajaran yang kondusif ialah tempat murid dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Iklim yang dapat memotivasikan murid merujuk kepada suasana atau budaya yang dapat mewujudkan motif dalam diri murid untuk bertindak ke arah mencapai matlamat pembelajaran. Seorang guru perlu membina keadaan bilik darjah yang kondusif serta berkesan dalam menghadapi tingkah laku. Hal ini melibatkan pendekatan pengajaran, corak komunikasi, kemahiran guru dalam mengurus, cara seseorang guru mengawal murid dan aktiviti-aktiviti dalam bilik darjah serta personaliti guru itu sendiri. Dalam persekitaran ini, murid menyedari kelebihan sikap berdikari  mempunyai perasaan bertanggungjawab dan kesepunyaan terhadap pembelajarannya.

1.1.1     Persekitaran Fizikal
Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran kerana suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada pengajaran yang berkesan.  Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik darjah mungkin merupakan ‘kawan’ atau ‘musuh’ dalam pengajaran. Persekitaran yang selesa, kemas dan ceria mampu menyeronokkan pengalaman pembelajaran murid.  Persekitaran fizikal di dalam bilik darjah merangkumi aspek-aspek seperti susunan dan reka bentuk fizikal di dalam bilik darjah, sumber bahan pembelajaran, ruang atau sudut pembelajaran, ruang pada dinding, pengcahayaan, pengudaraan dan perabot serta kebersihan. Di samping itu, pengurusan bilik darjah juga termasuk menunjukkan sikap positif terhadap sekolah dan pembelajaran secara umum.
1.1.2      Persekitan psikososial
Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Persekitaran psikososial yang sihat di dalam bilik darjah mempunyai ciri-ciri seperti suasana selesa dan mesra, bebas daripada ancaman dan bahaya fizikal, suasana yang merangsang pembelajaran, menggalakkan pembelajaran koperatif dan memberi peluang yang sama untuk semua murid. Faktor yang memberi kesan kepada persekitaran psikososial yang sihat ialah pendekatan pengajaran, gaya kepimpinan guru, bentuk komunikasi dan corak interaksi yang guru wujudkan di dalam bilik darjah.  Jika persekitaran psikososial ini tidak dititikberatkan oleh guru, masalah disiplin akan berlaku dalam kalangan murid.  Oleh itu, bagi menguruskan keperluan psikososial setiap murid, guru perlulah menjadi seorang guru yang asertif. Mengikut Model Disiplin Asertif Canter, pendekatan yang terbaik untuk menguruskan bilik darjah adalah dengan menggunakan pendekatan asertif. Guru asertif mempunyai matlamat yang jelas dengan pengurusan, yakin dan tegas dalam menetapkan peraturan dan pada masa yang sama akan bersikap adil kepada semua murid. Jika seorang guru ini konsisten bersikap asertif ini dapat membantu membina persekitaran yang tenang dan menyokong perkembangan pembelajaran dan psikososial murid.







1.1.3     Peraturan dan rutin bilik darjah
Pada umumnya, murid sekolah rendah mula berdikari namun mereka masih memerlukan pemantauan. Pada peringkat ini, mereka suka diberi perhatian dan menunjukkan respon yang positif apabila diberi insentif atau hadiah. Menurut Erik Erison, kanak-kanak pada peringkat ini mula mendapat pengalaman baharu dan berfokus kepada pembelajaran pengetahuan dan kemahiran baharu. Namun, murid pada peringkat ini memerlukan struktur dan prosedur-prosedur kerja yang jelas agar mereka boleh berfungsi dengan baik di dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlulah membina peraturan dan prosedur untuk mentadbir aktiviti dalam bilik darjah. Peraturan merupakan pernyataan yang menentukan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh murid. Contoh peraturan yang biasa ditemui ialah setiap murid perlulah mempunyai rasa hormat, mesra dan bersifat membantu rakan-rakan mereka, murid perlu menyiapkan tugasan mereka dan murid perlu mengangkat tangan mereka jika mahu menjawab sebarang pertanyaan.  Mengikut Model Pengurusan Kounin, asas kepada keberkesanan pengurusan disiplin bilik darjah bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan yang teliti guru terhadap bilik darjah. Faktor utama dalam menguruskan tingkah laku di dalam bilim darjah menurut Kounin adalah berkaitan dengan kebolehan guru untuk mengawasi semua perkara yang berlaku di dalam bilik darjah. Contohnya, dalam gerak kerja kumpulan, seorang guru berjaya mengawasi dan berinteraksi dengan semua kumpulan kecil walaupun pada ketika itu dia sedang mengajar kumpulan yang tertentu. Dengan kepekaan ini, seorang guru berupaya menjangka masalah yang akan timbul dan selalunya dapat menghalang masalah daripada menjadi semakin serius.
Selain itu, guru juga akan membentuk rutin di dalam bilik darjah untuk aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan. Rutin ialah prosedur atau langkah-langkah yang mesti diikuti oleh murid dalam aktiviti spesifik mereka. Rutin bertujuan melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran. Contoh amalan rutin ialah guru mengambil kehadiran setiap hari, cara mengedar dan menyimpan bahan pengajaran, membentuk kumpulan dalam kelas, menghantar buku latihan atau kerja rumah dan lain-lain. Setiap rutin yang dibentuk hendaklah sentiasa dipantau dan diberi peneguhan sehingga prosedur-prosedur ini menjadi satu budaya dalam kalangan murid dan seterusnya menjadi suatu budaya di sekolah tersebut. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.









2.0 Cadangan Membina Persekitaran Bilik Darjah yang Kondusif
Sepanjang menjalani latihan Pengalaman Berasakan Sekolah III, saya telah bercadang untuk merancang kelas Tahun 1 Saidina Umar dalam membantu guru kelas tersebut iaitu Puan Rahila Bt Sahar untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang kondusif. Sebelum merancang, saya terlebih dahulu mengenalpasti kedudukan pintu dan tingkap. Hal ini demikian kerana kedua-dua aspek ini adalah sumber cahaya dan udara, jadi ini dapat membantu saya untuk merancang susun atur bilik darjah. Dalam pelan bilik darjah yang saya bina, terdapat beberapa elemen yang boleh membawa kepada persekitaran bilik darjah yang kondusif.










Papan hijau
Info LINUS
Carta organisasi

Teratak LINUS
Rak fail
Papan kenyataan
Papan kenyataan

Meja guru

Sudut multimedia
Sudut pembelajarran
Rak buku
tingkap
tingkap
tingkap
pintu
tingkap
pintu
tingkap
2.1 pelan bilik darjah
















2.2 Perancangan Persekitan Fizikal
2.2.1      Meja guru
Meja guru diletakkan di belakang kelas dan berada di tengah. Kedudukan seperti ini adalah amat sesuai sekali diaplikasikan terutama pada murid Tahun Satu. meja guru juga hendaklah menghadap meja murid bagi membantu berlakunya kontek visual antara murid dan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan meja guru di belakang ini juga  tidak menghalang penglihatan murid pada papan putih semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kedudukan ini juga dapat memaksimumkan pemantauan guru terhadap setiap murid dari setiap sudut. Apabila murid mengetahui setiap gerak gerinya diperhatikan, mereka akan dapat membuat kerja berkumpulan atau individu dengan sebaiknya. Dengan itu, kedudukan ini dapat mencapai keselesaan guru dan dapat merangsang semangat untuk guru mengajar dalam emosi yang positif.

2.2.2     Kerusi dan meja murid
Perkara utama yang mesti diberi perhatian pada setiap kerusi dan meja murid ini ialah kuantiti kerusi dan meja adalah mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Untuk tujuan keselasaan, saiz kerusi dan meja harulah sesuai dengan peringkat tahap umur murid. Bagi susunan pula, meja murid disusun secara berkelompok di mana meja disusun secara berempat. Susunan ini memudahkan pengajaran berpusatkan murid. Selain itu, susunan ini dapat menggalakkan interaksi antara murid semasa gerak kerja kumpulan. Pada masa yang sama, murid juga masih boleh fokus kepada kerja sendiri. Susunan kelompok membolehkan murid berbincang, meluahkan pendapat, saling membantu dan berkongsi bahan semasa gerak kerja berkumpulan. Walau bagaimanapun, untuk membuat susunan secara berkelompok ini, guru hendaklah memastikan bilangan murid tidak terlalu ramai dan keluasan kelas hendaklah luas. Guru juga hendaklah memantau ahli kelompok supaya boleh bekerjasama dan bukan medatangkan kesan negatif kepada kumpulan.  Guru juga bolehlah menempatkan setiap murid dalam kumpulan mengikut pencapaian mereka. Hal ini akan memudahkan guru memberikan tugasan atau latihan selaras dengan pencapaian murid. 

2.2.3     Sudut multi-media
Selain faktor udara, perabot dan ruang, persekitaran fizikal bilik darjah abad ke-21 memerlukan prasarana teknologi yang bersesuaian. Penggabungjalinan elemen-elemen ini menjadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok untuk proses pembelajaran. (Weinstein & Mignano, 2003). Bagi membina persekitaran kondusif sudut multi-media juga perlu ada di dalam setiap bilik darjah. Di sudut ini, disediakan sebuah komputer dengan jaringan internet untuk penggunaan murid yang disambungkan ke plug elektrik yang berada di dinding bahagian tersebut. Sudut ini diletakkan berhampiran meja guru bagi memudahkan murid mendapat bimbingan guru semasa penggunaannya. Ini juga dapat memberi kelebihan kepada guru untuk memantau murid-murid agar menggunakan multi-media secara bijak dan bermanfaat. Guru juga perlu menyediakan peraturan penggunaan multi-media. Rasionalnya adalah supaya semua murid dapat menikmati kemudahan ini di samping pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan lancar dan mengelakkan berlakunya kerosakan atau kemalangan.

2.2.4     Sudut bacaan
Di satu sudut di bahagian belakang kelas dikhaskan sebagai sudut bacaan. Di sudut ini, dihamparkan permaidani dan diletakkan beberapa bantal untuk keselesaan murid-murid. Ruang ini lebih bersifat mesra kepada murid-murid dan memberi suasana seolah-olah mereka berada dirumah. Beberapa rak yang memuatkan buku, kamus, peta, surat khabar, majalah turut disusun di sudut ini untuk bacaan umum dan rujukan murid. Bahan-bahan bacaan ini diperolehi daripada sumbangan murid dan guru. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih bertanggungjawab untuk menjaganya kerana merasakan mereka turut memberi sumbangan bahan bacaan. Peraturan penggunaan ruangan ini turut dibina seperti bahan bacaan tidak boleh dikeluarkan daripada kelas, bahan bacaan perlu disusun kembali di atas rak selepas digunakan, buku yang rosak harus diganti dan sebagainya. Peraturan sebegini boleh mengelakkan berlakunya kerosakan dan kehilangan bahan bacaan ini. Untuk mendapatkan hasil yang efektif lagi, guru bolehlah mengaplikasikan Model Akibat Logikal Dreikurs di mana menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah.

2.2.5     Pencahayaan dan pengudaraan
Pencahayaan dan pengudaraan yang cukup amatlah penting untuk keselesaan murid dan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Tingkap dan lampu yang mencukupi boleh memberi pencahayaan yang mencukupi. Guru haruslah memastikan alat elektrik ini berfungsi dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab jika terdapat kerosakan.  Susun atur perabot dalam bilik darjah juga hendaklah disusun dengan baik supaya tidak menghalang tingkap untuk mengelakkan berlakunya halangan pencahayaan dan pengudaraan. Oleh itu, guru hendaklah sentiasa membuka pintu dan tingkap untuk pengudaraan.

2.2.6     Meja bulat
Meja bulat diletakkan di sudut kiri atau berdekatan dengan pintu di bahagian belakang kelas. Ini adalah bagi membolehkan murid berehat atau berbincang mengenai aktiviti-aktiviti atau tugasan-tugasan tertentu.

2.2.7     Tempat simpanan bekal makanan
Selain itu, untuk membina persekitaran yang kondusif juga, guru bolehlah menyediakan tempat simpanan bekalan makanan. Satu peraturan mewajibkan semua murid dikehendaki menyimpan bekal makanan masing-masing di tempat ini perlu dilaksanakan. Hal ini kerana sekiranya terdapat murid yang membawa bekal makanan dan diletakkan di meja murid, andainya makanan itu tertumpah, ruang meja murid akan kotor dan mungkin juga akan mengotorkan buku-buku murid. Selain daripada itu, bekal makanan itu juga boleh menarik perhatian murid sehingga mengganggu tumpuanmurid semasa belajar. Dengan adanya tempat simpanan bekal murid ini, masalah-masalah ini tidak wujud dan kelas kelihatan lebih kondusif.

2.2.8      Papan kenyataan
Pada papan kenyataan ini hendaklah dimuatkan jadual tugasan murid, hasil kerja murid, dan gambar aktiviti murid pada papan kenyataan untuk rujukan dan hiburan. Dalam jadual tugasan ini, murid-murid dibahagikan mengikut turutan hari dan tugas membersihkan kelas. Ini dapat melatih sifat bertaggungjawab dan kelas akan kelihatan bersih sepanjang hari. Dengan menampal hasil kerja pula, guru dapat melahirkan rasa bangga murid-murid apabila mereka melihat hasil kerja mereka dipamerkan dan secara tidak langsung mencetuskan minat mereka untuk belajar. Dalam hasil kerja murid pula dapat memberi input yang bermanfaat kepada semua murid

2.2.9     Bakul sampah
Dengan adanya bakul sampah, kebersihan bilik darjah dapat dijaga kerana murid-murid perlu membuang sampah ke dalam bakul sampah.


2.2.10  Peti pertolongan cemas
Peti pertolongan cemas ini diletakkan di hadapan kelas. Penggunaan peti pertolongan cemas ini perlu mendapat keizinan guru. Setiap kelas perlu mempunyai peti pertolongan cemas kerana kita tidak dapat menjangka bila berlakunya kemalangan. Dengan adanya peti ini, rawatan kecemasan dapat diberikan dengan segera apabila berlakunya kemalangan.

2.2.11   Jam dan Kalendar
Jam perlu diletakkan di hadapan kelas untuk melatih murid menghargai masa. Kalendar pula digunakan untuk rujukan tarikh. Dalam kalendar turut dicatatkan beberapa hari dan peristiwa penting seperti Hari Kebangsaan. Ini dapat melatih murid supaya peka dengan peristiwa-peristiwa penting sebegini.


2.2.12  Rak guru
Rak guru diletakkan di sebelah meja guru bagi kemudahan guru untuk menyimpan bahan bantu mengajar, fail-fail,  termasuk untuk kegunaan murid.


     
     
RUMUSAN

Semasa menguruskan bilik darjah, guru memainkan pelbagai peranan penting. Bilik darjah merupakan sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana seorang guru dan sekumpulan pelajar saling berinteraksi. Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang guru untuk menguruskan bilik darjah dengan bantuan murid-murid. Dalam usaha ke arah menyediakan persekitaran yang kondusif, guru perlulah mengambil kira ciri fizikal sesebuah bilik darjah, faktor emosi dan sosial serta peraturan dan rutin yang dilaksanakan. Melalui persekitaran bilik darjah yang kondusif ini, guru dapat melahirkan pelajar yang  lebih berdisiplin dan suasana harmoni dalam bilik darjah dapat diwujudkan. Selain itu pembentukan suasana bilik darjah yang ceria dan menyeronokkan secara tidak langsung dapat  mengurangkan gejala ponteng sekolah. Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu meningkatkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan oleh institusi pendidikan, sekaligus dapat mengurangkan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.

BIBLOGRAFI/RUJUKAN

Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel.2009. Pengurusan Bilik Darjah Dan Tingkah Laku. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar.
Amir Hasan Dawi. 2006. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Edisi Ketiga. KualaTanjung Malim: Quantum Books.
Chris Watkins. 2005. Classrooms as Learning Communities: What’s in it for schools?. Routledge Taylor & Francis Group.
Frazer, E. Home. 1989. Environment and The School . London: London UniversityPress.
Pengurusan Bilik Darjah yang Cekap Mewujudkan Suasana Pembelajaran yang Harmoni.  http://pengurusanbilikdarjah.smkberangan.com/index_files/script.js (akses 25 Februari 2012)
Developing Classroom Expectations http://www.projectidealonline.org/classMgt_ClassroomExpectations.php (akses pada 13 Mac 2012)


No comments :