Semasa menjalankan tugasan ini, kami membuat
pemerhatian ke atas pengurusan bilik darjah sebuah kelas prasekolah. Aspek yang diperhatikan adalah dari segi perancangan, pengelolaan,
pengawalan dan arahan guru dalam kelas tersebut.
Saiz bilik darjah
agak sempit dengan ruang pembelajaran yang terhad. Sistem pencahayaan dan
pengudaraan kurang baik menjadikan suasana kelas panas. Terdapat banyak hasil kerja murid yang
digantung dan ditampal di sekeliling kelas menjadikan kelas kelihatan
berserabut, agak padat dan sesak.
Kumpulan kami
mendapati guru telah membuat perancangan pengajaran sehari sebelum
pengajaran. Murid membuat aktiviti dalam
kumpulan dan berkongsi bahan maujud dalam kumpulan. Terdapat juga murid yang kurang berpuas hati
apabila tidak dapat menyentuh semua bahan.
Dari segi penilaian, kami mendapati terdapat rekod penilaian yang tidak
dilengkapkan. Guru menggunakan corak
kepimpinan autokratik dalam mengawal disiplin murid. Kadang kala guru menggunakan suara yang agak
tinggi dan sesekali menunjukkan pembaris sebagai amaran kepada murid. Murid agak takut dan sedikit pasif. Seorang murid menangis setelah dimarahi
guru. Murid akur dengan arahan
guru. Arahan guru dapat difahami oleh
murid. Bahasa guru mudah dan arahan tidak mengelirukan.
Setelah selesai
membuat pemerhatian, kami membuat perbincangan dalam kumpulan bagi melengkapkan
laporan. Kami dapati suasana kelas
kurang kondusif. Walaupun guru merancang
dengan baik, keadaan fizikal bilik darjah yang sempit dan panas sedikit sebanyak
mengganggu emosi pelajar seperti tidak selesa dan berpeluh-peluh. Ini seperti yang dikatakan oleh Marland dalam
buku yang ditulis oleh Ee Ah Meng (2001) iaitu suasana fizikal bilik darjah
mungkin merupakan ”kawan” atau ”musuh” dalam pengajaran. Susun atur bilik darjah yang baik boleh
merangsang pembelajaran murid. Murid-murid prasekolah berminat dengan bahan
maujud dan mahu memiliki bahan yang sama dengan rakan mereka disebabkan oleh
sifat egosentrik yang ada dalam diri masing-masing. Komunikasi
dan gaya kepimpinan
autokratik guru boleh menyebabkan emosi murid terganggu.
Kami juga melihat
penilaian perkembangan murid yang tidak disempurnakan boleh menyebabkan guru
sukar mengubahsuai perancangan pengajaran dan pembelajaran berikutnya supaya bersesuaian
dengan tahap murid.
Setelah selesai
melakukan tugasan ini, kami lebih menyedari tentang keperluan murid-murid
prasekolah dan peranan guru dalam pengurusan bilik darjah.
Berdasarkan
pengurusan kelas yang telah kami perhatikan, kami berpendapat guru prasekolah
tersebut perlu mewujudkan suasana kelas yang lebih kondusif dengan mengubah
susunan kerusi meja dalam kelas supaya ada ruang yang lebih luas untuk
memudahkan pergerakan murid. Bilangan
hasil kerja murid perlu sesuai dengan ruang agar tidak terlalu sesak dan
ditukar ganti setiap minggu supaya dapat menarik perhatian murid. Ubahsuaian tingkap perlu bagi mewujudkan
pengudaraan yang lebih dalam kelas.
Semasa mengelolakan pengajaran dan pembelajaran, guru perlu memastikan
bahan yang disediakan mencukupi supaya tidak menjadi rebutan murid.
Murid-murid
prasekolah masih tergolong sebagai kanak-kanak yang amat gemar kepada aktiviti
permainan. Justeru guru prasekolah perlu
merancang isi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk permainan
untuk menarik minat murid. Semasa
mengelolakan pengajaran dan pembelajaran, arahan guru harus jelas dan tidak
mengelirukan.
Hati kami
tersentuh apabila mengenangkan salah seorang murid yang menangis setelah
dimarahi guru. Oleh itu kami sedar bahawa
sebagai guru prasekolah kita tidak boleh terlalu berkasar dengan murid. Sebaliknya murid-murid ini memerlukan
perhatian dan kasih sayang. Justeru,
guru-guru prasekolah perlu memenuhi tuntutan tersebut agar murid tidak rasa
tertekan dan bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Cara ini sedikit
berbeza dengan cara menangani murid KBSR yang usianya lebih tinggi.
Guru prasekolah
juga tidak boleh
mengabaikan aspek
penilaian ke atas
perkembangan murid kerana mereka berada pada tahap pembelajaran aktif. Perkembangan kognitif, bahasa, emosi dan
sosial perlu diperhatikan dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.
Sebagai
kesimpulan, tugasan ini menyedarkan kami bahawa sebagai seorang guru prasekolah
kita perlu sentiasa peka kepada keperluan dan kehendak naluri kanak-kanak
prasekolah.
No comments :
Post a Comment