Pendahuluan
Modal
insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan
negara mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan. Merekalah yang akan
meningkatkan tahap produktiviti dan daya saing negara dalam mendepani cabaran
dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda membina dan memupuk modal insan
yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung kepada kualiti
sistem pendidikan negara. Justeru, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP)
2006-2010 telah dirangka untuk melaksanakan dan merealisasikan satu sistem
pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf dunia. PIPP telah
dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi pada 16
Januari 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PIPP 2006-2010 telah
menggariskan enam teras iaitu membina Negara bangsa, membangunkan modal insan,
memperkasakan Sekolah Kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan
profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
1. Membina negara bangsa
Pembinaan
negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia
adalah
amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara
bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem
nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara
bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme,
lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.
Cabaran
globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam system pendidikan
bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak bijak menghadapi cabaran
globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan.
Fokus utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti
memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan, integrasi nasional dan
bahasa ilmu. Fokus lain ialah memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan
budaya bangsa serta memupuk kefahaman yang jelas terhadap pendekatan Islam
Hadhari dalam membentuk pemikiran kehidupan. Antara strategi untuk membina
negara bangsa ialah :
· Menggerakkan
gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan.
· Memantapkan
pelaksanaan Dasar Buku Negara.
· Menyelaras
peranan semua pihak terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan,
kesusasteraan, pengkaryaan, penterjemahan dan penerbitan.
· Mewujudkan
bulan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan.
Bagi
memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, pelbagai usaha akan
dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat agar menghormati
Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotik melalui aktiviti
kokurikulum dan menanam semangat hormat-menghormati sensitiviti masyarakat
pelbagai kaum. Selain itu, memberi kefahaman menyeluruh tentang pentingnya
semangat kejiranan ke arah perpaduan dan integrasi nasional turut
dititikberatkan. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut menyusun program
bagi memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya melalui kurikulum
kesenian, membina sekolah seni, meningkatkan kerjasama dengan Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) serta membudayakan penggunaan tulisan
jawi. Bagi memupuk kefahaman yang jelas tentang pendekatan Islam Hadhari,
pelbagai aktiviti untuk bimbingan melalui siri ceramah, seminar dan penerbitan
bahan bacaan berkaitan Islam Hadhari akan dilaksanakan.
2.
Membangunkan modal insan
Pembangunan
modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu
pengetahuan serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai
jenis pekerjaan. Di samping itu, para pelajar akan dilengkapi kemahiran,
komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi maklumat (ICT)
dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak
secara rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai
tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.
Bagi mencapai dasar dan matlamat tersebut, fokus pembangunan modal insane
sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) adalah :
· Mengadakan
lebih banyak pilihan pendidikan kepada ibu bapa danpelajar
KPM
akan meneruskan kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran, mata pelajaran dan
bidang pengkhususan. Pendaftaran Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama
Negeri (SAN) akan diteruskan. Pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV) di
sekolah-sekolah akan diperluaskan. Peruntukan belanja mengurus akan ditingkatkan
bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
· Meningkatkan
keupayaan dan minat pelajar untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran
Pelaksanaan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM)
akan dikaji semula agar lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi. Budaya
cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk dengan menggalakkan tabiat membaca.
Penerbitan dan penterjemahan pelbagai jenis bahan bacaan sama ada dalam bentuk
bercetak atau bukan bercetak akan dipergiatkan. Bagi menjayakan Program
Pembestarian Sekolah, infrastruktur yang mencukupi akan disediakan seperti
komputer, televisyen dan cakera video digital (DVD). Bagi memastikan program
ini dapat beroperasi dengan lancar, program latihan dan bimbingan akan diadakan
iaitu Latihan Asas Penggunaan Komputer, Latihan Penggunaan Komputer untuk
pengajaran dan pembelajaran (P&P), Latihan Penggunaan Perisian Khusus dan
latihan Penggunaan Televisyen Pendidikan (TVP) dalam P&P. Beberapa
pendekatan P&P baru akan diperkenalakn supaya menarik minat para pelajar
seperti program F1 Technology Challenge dan Robotik.
· Memupuk
pelajar supaya memiliki kemahiran dan ketrampilan
Kemahiran
berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum dengan memperbanyakkan
aktiviti literasi dan secara langsung akan dipergiatkan. MPV akan diperluas di
sekolah-sekolah selain memastikan pelajar menguasai kemahiran ICT. Bagi membina
penampilan diri yang positif, aktiviti bina diri seperti kerja berpasukan dan
pembinaan karakter akan diperbanyakkan. Ceramah, seminar, motivasi dan bengkel
berunsur pembangunan insan akan ditingkatkan bagi memupuk nilai-nilai murni,
budi bahasa dan adab di kalangan pelajar. Kerja amal dalam masyarakat setempat
seperti di rumah orang tua dan anak yatim juga akan diperbanyakkan. Aspek
keselamatan, kesihatan dan kebersihan (3K) turut diberi keutamaan. Program
Amalan Kebersihan Sekolah turut dimantapkan sepanjang RMK-9.
· Memantapkan
sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik
KPM
akan mengubah penekanan peperiksaan awam daripada berasaskan kandungan kepada
kemahiran atau daripada bersifat ujian kepada kebolehan am. Bilangan mata
pelajaran dalam peperiksaan awam juga akan dikurangkan bagi mata pelajaran
tertentu. Sistem penggal akan dikaji semula dan digantikan dengan sistem
semester bagi menjadikan suasana persekolahan tidak berorientasikan
peperiksaan. Bagi memantapkan kualiti system pentaksiran dan penilaian, standard
prestasi kebangsaan bakal diperkenalkan untuk dibandingkan dengan standard
negara lain.
· Memantapkan
program kokurikulum dan sukan
Budaya
bersukan dan kokurikulum akan diterapkan kepada pelajar dengan menyediakan
kemudahan serta peralatan sukan yang mencukupi di semua sekolah tidak kira
lokasinya. KPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan
Majlis Sukan Negara (MSN) untuk melaksanakan program pembangunan sukan lebih
menyeluruh di samping mengenal pasti sekolah yang dapat dijadikan Pusat Sukan
Daerah dan Negeri. Bagi meningkatkan semangat patriotik, Rukun Negara akan
dipelajari dan dihayati dari peringkat awal persekolahan. Penubuhan Kelab Rukun
Negara akan dilaksanakan di sekolah rendah dan menengah.
· Memperkukuh
disiplin pelajar
Kempen
Anti Buli, Kempen Anti Ponteng, kempen melibatkan penglibatan ibu bapa dalam
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Kempen Pencegahan Salah Laku akan di
perhebatkan. Program Pendidikan Keselamatan Jalan Raya 2005 akan dilaksanakan
di sekolah rendah secara berperingkat dengan menerapkannya ke dalam mata
pelajaran bahasa Melayu.
· Mempercepat
perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin dengan
mempelbagaikan
saluran aduan terus
Saluran
aduan terus akan dipelbagaikan termasuk talian terus, e-mail, faks dan
khidmat pesanan ringkas (SMS).
· Memantapkan
kurikulum
Pelaksanaan
j-QAF kepada murid Islam dan Pendidikan Moral kepada bukan Islam akan
diperluaskan. Selain itu, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan akan diperluas
pelaksanaannya ke Tahap Dua sekolah rendah dan sekolah menengah.
· Meningkatkan
kerjasama KPM dengan pelbagai agensi
Ini
akan dilakukan dengan menjalankan pelbagai aktiviti bagi membangunkan modal
insan.
3.
Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Dalam
PIPP, tumpuan memperkasakan Sekolah Kebangsaan (SK) diberi kepada sekolah
rendah. Ini kerana SK berperanan penting sebagai tapak untuk menyemai serta
memupuk perpaduan di antara kaum dari peringkat awal persekolahan. Ciri-ciri SK
perkasa ialah :
· Infrastruktur
lengkap dan berkualiti.
· Pemimpin
dan guru cekap, terlatih dan berkualiti, semua pelajar menguasai 3M.
· Beraspirasi
nasional.
· Menawarkan
bahasa Cina dan bahasa Tamil.
· Pencapaian
akademik cemerlang.
· Sistem
sokongan yang kuat dan mencukupi.
· Iklim
dan budaya sekolah yang sihat.
· Penawaran
dan pelaksanaan kurikulum berasaskan pelanggan.
· Penawaran
dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan.
· Pencapaian
sahsiah pelajar cemerlang.
4.
Merapatkan jurang pendidikan di luar bandar
PIPP
bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi dengan membangunkan
infrastruktur dan kemudahan pendidikan luar bandar di seluruh negara. Selain
itu, ia turut memfokuskan peningkatan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko
keciciran pelajar. Tumpuan akan diberi kepada sekolah-sekolah di pedalaman
Sabah dan Sarawak. KPM turut memfokuskan untuk mengurangkan jurang pencapaian
akademik dengan menambah bilangan komputer, TV Pendidikan,
video teleconferencing, SchoolNet, makmal komputer, kemudahan
perkakasan, pengisian dan tenaga kerja. Ini akan mengurangkan jurang digital
yang wujud di kalangan murid dan guru luar bandar. Beberapa langkah telah
dikenal pasti untuk meningkatkan penyertaan Orang Asli dan minoriti iaitu
meningkatkan penguasaan 3M (membaca, menulis dan mengira).
5.
Memartabatkan profesion perguruan
Guru-guru
yang baru menamatkan pengajian perguruan dari maktab atau institusi pengajian
tinggi akan diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman dahulu tanpa sebarang
pengecualian. KPM akan menambah baik insentif dan mewujudkan skim insurans khusus
kepada guru yang berkhidmat di pedalaman selain menyediakan rumah guru dan
kemudahan asas yang sempurna. Kurikulum Institut Pendidikan Guru (IPG) secara
berpusat akan digubal bagi memberi penekanan kepada elemen baru dalam kurikulum
pendidikan guru. Ia akan memberi focus kepada membangunkan infrastruktur yang
meliputi Pusat Maklumat Latihan Keguruan, Sistem Penyaluran, rangkaian
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Portal Pendidikan Guru dan Total
Campus Management System. Guru tugas-tugas khas bakal menikmati elaun baru
apabila PIPP 2006-2010 dilaksanakan sepenuhnya. Pelbagai keistimewaan bakal
dilaksanakan seperti mewujudkan laluan pantas untuk kenaikan gred DG berasaskan
merit dan prestasi akan dilaksanakan, kemudahan tempat tinggal di kawasan pedalaman
dan Bandar besar akan disediakan dan menempatkan guru mengikut opsyen dan
keperluan.
6.
Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan
Bagi
melonjakkan lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam system pendidikan
negara, dasar KPM adalah untuk mengadakan pendekatan, piawaian
dan
penanda aras yang lebih tepat serta bersesuaian dengan ciri dan keperluan
kluster institusi pendidikan yang ada iaitu mengikut bidang khusus (niche
areas) masing-masing. Hal ini kerana pada masa ini terdapat pelbagai jenis
sekolah dalam sistem pendidikan negara. Institusi-institusi model yang dapat
dijadikan contoh akan dibangunkan supaya dapat dijadikan showcase di
peringkat antarabangsa. Ia bertujuan untuk membuktikan keupayaan sistem
pendidikan negara di samping membantu usaha untuk menjadikan Malaysia Pusat
Kecemerlangan Pendidikan. Dalam pada itu, sebanyak 300 buah institusi
pendidikan yang menyerlah dan cemerlang dalam kluster institusi pendidikan
tertentu akan dikenal pasti dan dipilih mengikut elemen berikut :
· Elemen
utama (pencapaian purata, kokurikulum).
· Elemen
sokongan (pengurusan dan pentadbiran sekolah, ketrampilan guru, pengurusan
kewangan yang cekap, penglibatan ibu bapa dan masyarakat).
Kesimpulan
Dengan
termeterainya PIPP 2006-2010, diharapkan bidang pendidikan bukan sahaja dapat
melahirkan modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda
tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang sempurna dan murni untuk memikul amanah
bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang mempunyai celik minda dan
nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain mampu
bersaing untuk berjaya. Negara perlu melahirkan lebih ramai Ulul-Albab
(pemikir) yang bersyukur kerana mereka merupakan golongan yang mampu
melaksanakan amanah bagi membawa kebaikan kepada negara.